Wednesday 19 October 2011

LATAR BELAKANG SMK BANDAR PUTRA SEGAMAT


              Sekolah ini mula dibina pada 17 November 2001 dan siap sepenuhnya pada 14 November  2003. Bangunan sekolah ini kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Pelajaran pada 4 Disember 2003. Sekolah ini merupakan sekolah pertama yang dibina oleh Kementerian Pelajaran menggunakan konsep 'reka dan bina'. Justeru itu, tidak hairanlah jika bangunan sekolah ini berlainan dengan bentuk bangunan sekolah lain.
              Pada 10 Disember 2003, bermulalah lembaran baru apabila 20 orang guru melaporkan diri dan bermesyuarat buat julung kalinya di sekolah ini. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh tiga orang wakil daripada Pejabat Pelajaran Daerah Segamat. Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Bertindak Sekolah sekali lagi telah bermesyuarat pada 17 Disember 2003, bagi menetapkan dasar, misi dan visi sekolah. Pada tarikh 28 Disember 2003, satu perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga telah diadakan bertujuan untuk memberitahu mengenai beberapa perkara penting dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh anak-anak jagaan mereka yang akan bersekolah di sini.
             Sesi pendaftaran dan pra-persekolahan bagi tahun 2004 telah diadakan pada 4 Januari 2004. Sesi persekolahan telah dibuka pada 5 Januari 2004 dan seramai 700 orang pelajar mula bersekolah dengan tenaga pengajar seramai 35 orang dan staff sokongan seramai 10 orang.
            Oleh kerana sekolah ini baru dibuka dan tidak mempunyai pusat peperiksaan, maka pelajar yang memulakan sesi persekolahan terdiri daripada Pelajar Kelas Peralihan, Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 4.
             Terdapat 18 buah kelas yang didaftarkan di sekolah pada masa tersebut :
              * Satu kelas         - Kelas Peralihan
              * Tujuh kelas       - Tingkatan 1 (1A hingga 1G)
              * Lima kelas        - Tingkatan 2 (2A hingga 2E)
              * Lima kelas        - Tingkatan 4 (4 Sains 1, 4 Sains 2, 4 Sains 3, 4A & 4B)
              Majlis penyerahan plak sekolah baru telah disempurnakan oleh En. Abdul Wahab bin Sungip, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Johor pada 12 Januari 2004. Majlis tersebut merupakan satu detik bermakna yang menjadi satu titik Sejarah bagi sekolah ini.              

SLOGAN SEKOLAH
“ILMU TERAS KEUNGGULAN”

No comments:

Post a Comment